Kesan Internet terhadap kesihatan mata
- Nazhif Nazri
- May 3, 2015
- 2 min read

Akses internet merupakan satu jaringan yang amat penting dalam kehidupan bersosial pada zaman serba canggih kini. Malah, merupakan salah satu daripada keperluan yang seharusnya ada pada seseorang individu pada hari ini.
Di rantau Asia, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar penggunaan internet tertinggi dengan mencatat 60% daripada jumlah rakyat Malaysia sudah mengenali internet dan menjadi pengguna internet.
Walaubagaimanapun, saban tahun kita melihat banyak kes yang melibatkan dunia siber dan teknologi ini. Seharusnya diakui, penggunaan internet ini juga akan menjuruskan kepada kesan-kesan kepenggunaannya.
Antaranya ialah, kepada kesihatan mata pengguna. Penggunaan komputer untuk melayari internet bagi suatu tempoh masa yang agak lama akan memberikan kesan kepada penglihatan mata pengguna. Ianya dipanggil penglihatan lesu (visual fatigue). Ini berlaku disebabkan sistem akomodasi mata tidak direhatkan dalam setiap jam yang digunakan. Bagi menggelakkan mata anda lesu pengguna seharusnya merehatkan sistem akomodasi mata sekurang-kurangnya seminit hingga dua minit dalam setiap jam sebelum menyambungkan tugasan.
Selain itu, pengguna juga akan mengalami masalah rabun penglihatan sekiranya menghadap skrin komputer terlalu lama bagi melayari internet dan menyiapkan pelbagai tugasan. Perkara ini akan mudah terjadi dan mendatangkan masalah penglihatan terutama bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan seperti miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan juga presbiopia (lemah akomodasi akibat peningkatan umur). Bagi menangani perkara ini, pengguna disarankan untuk memakai cermin mata khusus bagi penggunaan komputer lebih daripada satu jam sehari.
Di samping itu juga, ia juga akan memberikan impak kepada sistem mata, iaitu sistem lubrikasi okular di mana pengguna komputer akan kurang mengelipkan mata dan akan menyebabkan air pra-kornea akan tersejat kepada persekitaran. Ini dipanggil sebagai sindrom mata kering (dry eye syndrome). Jika ini berlaku ianya akan mengakibatkan iritasi dan kepedihan pada mata.Pengguna disarankan untuk tidak berhadapan dengan skrin komputer bagi suatu tempoh yang agak lama. Ubat titis juga dapat membantu bagi mengurangkan sindrom mata kering ini.
Jadi, penggunaan internet dan berhadapan dengan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama sememangnya menjuruskan pengguna kepada pelbagai masalah kesihatan mata.
Oleh itu, pengguna seharusnya bijak dalam penggunaan masa dan memliki kesedaran serta pengetahuan yang tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan mata. Akhir kata, mata merupakan aset penting yang seharusnya dijaga dengan baik. Bak kata sang buta, “mata merupakan sinar kehidupan.’

Comments